05292017Mon
Last updateTue, 22 Nov 2016 12pm

Penduduk Gaza rai kejayaan

GAZA CITY 27 0gos - Persetujuan gencatan senjata di antara Palestin dan Israel bagi menamatkan pergolakan berdarah di Gaza yang memasuki hari ke-50 semalam, disambut dengan penuh rasa kesyukuran dan gembira oleh penduduk di wilayah ini.

"Hari ini kami mengisytiharkan kejayaan atas rintangan yang kami hadapi. Hari ini kami isytiharkan kejayaan bagi Gaza," kata jurucakap pergerakan Hamas, Sami Abu Zuhri.

Penduduk Palestin meraikan persetujuan tersebut dengan berkumpul dan berarak di jalan-jalan raya sambil membunyikan hon kenderaan masing-masing, selain corong-corong pembesar suara di masjid turut memainkan lagu-lagu yang memuji kebesaran Allah.

"Perasaan saya ketika ini bercampur baur. Kami terluka setelah berlakunya banyak kematian, tetapi kami juga berasa bangga kerana kami walaupun berperang secara bersendirian, tetapi perpaduan kami masih lagi kekal utuh," kata seorang penduduk Gaza yang dikenali sebagai Ahmed Awf.

Bagaimanapun, Israel yang enggan memberi maklum balas lanjut berkenaan persetujuan itu berkata, jika persetujuan itu dihormati, usaha untuk membawa masuk bantuan makanan, perubatan dan bahan binaan bagi membangunkan semula Gaza akan berjalan dengan lancar.

"Israel tidak mempunyai sebarang masalah dengan penduduk awam yang menyatakan sokongan mereka ke atas Gaza, tetapi kami tidak mahu melihat Hamas membina semula kekuatan ketenteraan mereka," kata jurucakap Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, Mark Regev.

Israel berpendapat pergerakan Hamas kini sedang mengalami tamparan hebat selepas beberapa orang pemimpin sayap ketenteraan mereka terbunuh, selain terowong bawah tanah yang menghubungkan mereka dengan kawasan sempadan Israel dimusnahkan.

Jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), Jen Psaki berkata, pihaknya menggesa kedua-dua belah pihak untuk mematuhi syarat-syarat perjanjian yang telah ditetapkan bagi memastikan gencatan senjata berkenaan 'bersifat kekal dan berterusan'.

"Kami melihat perkara ini sebagai satu peluang, bukan satu kepastian. Perjalanan masih panjang dan kita harus sentiasa menyedari akan perkara ini. Kita akan tangani masalah ini secara terbuka," jelas Psaki.

- REUTERS

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140828/lu_03/Penduduk-Gaza-rai-kejayaan#ixzz3Bd1fZfnm
© Utusan Melayu (M) Bhd

  • Hot News

  • Top news

  • Latest News