10172017Tue
Last updateTue, 22 Nov 2016 12pm

Ustaz Lotfi meninggal dunia di Turki

Mohd. Lotfi Ariffin berada dalam keadaan koma di Hospital Hatay, Turki, baru-baru ini.
KUALA LUMPUR 14 Sept. - Pemimpin pejuang rakyat Malaysia di Syria, Mohd. Lotfi Ariffin, 46, meninggal dunia di Hospital Hatay, Turki hari ini selepas lima hari berada dalam keadaan koma akibat terkena serangan bom pesawat dalam satu pertempuran dengan pihak tentera negara itu pada 9 September lalu.

Mohd. Lotfi yang juga dikenali sebagai Ustaz Lotfi dan berasal dari Kuala Ketil, Kedah itu meninggal dunia kira-kira pukul 1.40 pagi ini.

Menurut sumber, Mohd. Lotfi yang juga merupakan bekas Exco Pemuda Pas Kedah telah dibawa untuk menerima rawatan di hospital tersebut kerana keadaannya amat kritikal dan dia merupakan pemimpin pejuang bagi rakyat Malaysia di Syria.

"Mereka diserang menggunakan bom 'drum' yang dilemparkan oleh pesawat tentera Bashar Al-Assad ketika cuba memasuki kawasan perang.

"Selepas serangan itu, Mohd. Lotfi berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan dibawa ke Turki untuk menerima rawatan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam kejadian 9 September lalu, seorang rakyat Malaysia, Mohamad Fadlan Shahidi Mohammad Khir, 21, maut manakala lima yang lain termasuk Ustaz Lotfi mengalami kecederaan.

Difahamkan, kesemua mereka yang cedera itu kini berada dalam keadaan stabil dan hanya mengalami cedera ringan.

Kejadian terbaharu itu menjadikan empat rakyat terbunuh di negara bergolak iaitu tiga di Syria manakala seorang di Iraq.

Dua lagi yang maut di negara bergolak ialah Zainan Harith, 52, atau Mat Soh juga dikenali Abu Turab yang mati dibedil oleh kereta kebal Bashar al-Assad pada 20 Ogos lalu dan pekerja kilang, Ahmad Tarmimi Maliki, 26, yang menjadi pengebom berani mati Kumpulan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS) di Iraq pada Mei lalu.

Kejadian yang menimpa Mat Soh turut mencederakan dua rakannya iaitu Mohd. Rafi Udin, 48, dan Zainuri Kamarudin, 47.

Menurut sumber itu, Ustaz Lotfi telah pergi ke Syria pada 14 Februari lalu dan merupakan bekas anggota Kumpulan Militan Malaysia (KMM) yang pernah ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 2001 dan dibebaskan pada 2006.

Sumber berkata, ahli keluarga Mohd. Lotfi juga telah dimaklumkan mengenai kematian tersebut.

Difahamkan, jenazah Mohd. Lotfi akan dibawa ke Syria untuk dikebumikan di tanah perkuburan Kafr Zatay berhampiran kubur Mohamad Fadlan Shahidi dan Zainan Harith.

Kongsi Konten di :

www.utusan.com.my

  • Hot News

  • Top news

  • Latest News