07242017Mon
Last updateTue, 22 Nov 2016 12pm

Kelab Media Sempadan Malaysia-Thailand Bakal Diwujudkan

YALA (Selatan Thailand), 24 Ogos (Bernama) -- Kelab media yang dianggotai wartawan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand bakal ditubuhkan dalam tempoh terdekat.
Presiden Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) Azran Fitri Abdul Rahim berkata penubuhan kelab berkenaan amat penting bagi penyaluran maklumat yang tepat di antara pengamal media terbabit.

Ini, katanya, kerana penduduk di antara kawasan tersebut mempunyai hubungan amat erat terutama di kawasan sempadan yang berkongsi bahasa dan budaya yang hampir sama.

"Penubuhan kelab ini juga secara tidak langsung akan membantu kerajaan untuk mempromosikan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) yang akan dilaksanakan bermula tahun depan," katanya dalam 'Forum AEC: Cabaran dan Peluang Media' di Universiti Yala Rajabaht (YRU) di sini.

Selain Azran Fitri, tiga lagi anggota panel forum itu ialah Timbalan Presiden YRU Dr Kumajdi Yamarudeng; Setiausaha Kelab Wartawan Akhbar Selatan Thailand Abdul Karim Ramansiriwong yang juga Presiden Kelab Wartawan Yala dan Presiden Kelab Stringer Wilayah Utara (KSWU) Che Saad Noordin.

Forum itu merupakan sebahagian daripada program Persahabatan Media Malaysia-Thailand yang diadakan di wilayah ini dan Pattani sejak Rabu lepas.

Program anjuran Kelab Wartawan Yala itu dihadiri kira-kira 30 pengamal media yang mewakili Kemudi, Kelab Media Perlis dan KSWU.

Azran Fitri berkata buat permulaan, Kelab Wartawan Malaysia-Thailand akan menggabungkan empat buah kelab dari negeri di utara Malaysia bersama dengan Kelab Wartawan Akhbar Selatan Thailand.

Sementara itu, Abdul Karim berkata penubuhan kelab itu penting bagi menyalurkan maklumat yang tepat tentang kedua-dua negara.

Beliau berkata banyak persepsi yang timbul terutama membabitkan Selatan Thailand dan berikutan itu pengamal media berharap dapat memainkan peranan dalam menyalurkan maklumat yang tepat untuk disampaikan kepada rakyat Malaysia.

-- BERNAMA

  • Hot News

  • Top News

  • Latest News

  • English : Latest News

  • Thai : Latest News