08222017Tue
Last updateTue, 22 Nov 2016 12pm

Konflik selatan Thai hanya boleh diselesaikan melalui rundingan

KESEDIAAN Perdana Menteri baharu Thailand, Jeneral Prayuth Chan-ocha untuk menyambung semula rundingan dengan kumpulan pemisah yang terhenti sejak Oktober lalu ketika di bawah pentadbiran Yingluck Shinawatra, diharap mampu memberi nafas baru kepada konflik di selatan negara itu, yang sehingga kini sudah meragut hampir 5,400 nyawa sejak 2004.

Sekali lagi rundingan berkenaan bakal menyaksikan Malaysia terus diberi kepercayaan untuk menjadi orang tengah, selepas Prayuth dilaporkan bakal bertemu rakan sejawatannya Datuk Seri Najib Tun Razak pada bulan depan bagi membincangkan tentang perkara tersebut.

Mampukah Prayuth, yang diangkat menjadi Perdana Menteri melalui rampasan kuasa tentera pada Mei lalu menyelesaikan masalah berkenaan atau sekurang-kurangnya mengulangi pencapaian bekas Perdana Menteri, General Prem Tinsulanonda yang berjaya mengurangkan ketegangan di kawasan selatan Thailand sekitar 1980an hingga awal tahun 2000 dengan polisi asimilasinya.

Pemberontakan di selatan Thailand sudah lama berlarutan, sejak kerajaan gajah putih itu menamatkan pemerintahan beraja di Pattani pada 1902.

Kebangkitan penduduk di selatan negara itu untuk berpisah paling ketara berlaku sekitar 1940an hingga 1980an di bawah kelolaan Pertubuhan Pembebasan Bersatu Pattani (PULO).

Bagaimanapun, Prem berjaya mententeramkan ketegangan di kawasan terbabit dengan melaksanakan dasar pembaharuan termasuk menyokong hak kebebasan budaya, melaksanakan pembangunan ekonomi, memberi pengampunan kepada pemberontak dan mengadakan kerjasama dengan Malaysia bagi mengukuhkan kawalan keselamatan di sempadan.

Prem melaksanakan dasar-dasar itu kerana menyedari majoriti penduduk di wilayah berkenaan iaitu Pattani, Yala dan Narathiwat, selain lima daerah Chana, Thepa, Na Thawi, Saba Yoi dan Sadao merupakan penduduk Melayu beragama Islam yang sangat terikat dengan cara hidup tradisional.

Bagaimanapun, di bawah pemerintahan Thaksin Shinawatra, beliau menghapuskan Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan yang dibentuk sebagai jambatan antara pemimpin Islam dan kerajaan, selain mengambil tindakan kekerasan untuk memerangi pemberontak.

Salah satu perbuatan Thaksin yang tidak mungkin boleh dimaafkan oleh penduduk Islam di selatan negara itu ialah cara beliau menangani tunjuk perasaan di Tak Bai pada Jun, 2009.

Begitu juga ketika pemerintahan Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva, beliau tidak mampu menggerakkan sebarang agenda bagi meredakan ketegangan di wilayah di selatan Thailand, sebaliknya menempatkan lebih banyak tentera di kawasan terbabit, satu pendekatan yang tidak disenangi oleh penduduk setempat dan menjadi antara punca peningkatan keganasan di wilayah bergolak itu.

Dalam laporan yang dikeluarkan oleh kumpulan Krisis Antarabangsa pada 2008, perbezaan kepercayaan, bangsa dan bahasa antara penduduk minoriti Melayu dan penduduk majoriti Buddha membawa kepada wujudnya sifat 'pengasingan' dalam kalangan masyarakat.

Justeru, satu penyelesaian politik secara berkekalan perlu dicari oleh kerajaan Thailand yang baharu dengan membawa kumpulan pemisah ke meja rundingan.

Rundingan tidak hanya tertumpu pada satu kumpulan pemisah iaitu Barisan Revolusi Kebangsaan (BRN) seperti yang dilakukan sebelum ini, sebaliknya ia perlu melibatkan kumpulan pemisah lain seperti PULO, Barisan Pembebasan Islam Patani (BIPP) dan Gerakan Mujahideen Islam Patani (GIMP).

Hal ini kerana semasa rundingan perdamaian bersama BRN sebelum ini, insiden pengeboman oleh kumpulan pemisah tetap berlaku dan ini me nunjukkan BRN tidak mewakili suara majoriti kumpulan pemisah.

Pembabitan rakan-rakan daripada negara anggota ASEAN secara aktif sebagai pengantara juga dilihat sebagai alternatif yang boleh diambil bagi meredakan konflik berdarah di wilayah itu.

Negara-negara anggota ASEAN mampu menjadi penggerak dan 'pendesak' kepada Thailand supaya lebih memandang serius tentang bagaimana untuk menamatkan konflik berkenaan dengan segera bagi mengelakkan pertumpahan darah berlaku.

Kerajaan Thailand wajar mencontohi kerajaan Filipina dan Indonesia yang berjaya memuktamadkan perdamaian dengan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) di wilayah Mindanao dan kumpulan pemisah Gerakan Acheh Merdeka (GAM) melalui cara rundingan dan bukannya menerusi kekerasan.

Melalui pendekatan dan polisi yang tepat serta adanya usaha yang bersungguh-sungguh daripada kedua-dua belah pihak, krisis di selatan Thailand boleh diselesaikan secara aman walaupun mungkin memakan masa yang panjang.

Kongsi Konten di :Utusan Malaysia

  • Hot News

  • Top News

  • Latest News

  • English : Latest News

  • Thai : Latest News