06252017Sun
Last updateTue, 22 Nov 2016 12pm

Malaysia akan terus main peranan perjanjian damai selatan Thailand, Filipina

KUALA LUMPUR 4 Jun - Malaysia akan terus memainkan peranan menjayakan penyelesaian damai melibatkan komuniti Islam di kawasan bergolak khususnya di wilayah selatan Thailand dan Filipina tanpa mencampuri urusan dalaman pentadbiran negara tersebut.

Walau bagaimanapun menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, komuniti Islam di wilayah berkenaan harus menyedari realiti bahawa mereka tertakluk di bawah pentadbiran kerajaan negara terlibat dan perlu melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat.

Mereka juga jelasnya, hendaklah menunjukkan komitmen berterusan dengan menyumbang kepada pengukuhan moral dan sosioekonomi di negara masing-masing.

"Pada masa sama, satu bentuk autonomi, bukan kemerdekaan kepada komuniti Islam hendaklah diberikan termasuk melindungi agama, budaya dan pendidikan serta meningkat peluang sosioekonomi mereka.

"Hak tersebut perlu diberikan sama seperti rakyat lain dalam konteks kesaksamaan, berperikemanusiaan dan penuh belas kasihan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama merasmikan Simposium Antarabangsa Islam dan Era Baharu Negara-Negara ASEAN : Kesatuan Pemikiran, Kemakmuran Bersama di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), di sini hari ini.

Yang turut hadir bekas Perdana Menteri yang juga Pengerusi IKIM, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Najib memberitahu, Malaysia berkemampuan dalam menyumbang kepada penyelesaian konflik di rantau ini terutama kejayaan membantu rundingan damai antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).

"Selatan Filipina kini merupakan kawasan yang aman dan kita sedang membantu ke arah perjanjian akhir antara MILF dan kerajaan negara itu. Kesan kejayaan ini bermakna ribuan nyawa umat Islam dapat diselamatkan daripada terkorban jika konflik berterusan.

"Kalau Malaysia tak main peranan, tak mungkin perjanjian ini menjadi kenyataan dan bermakna kita menyelamatkan nyawa umat Islam di samping memberi harapan masa depan kepada mereka dan identiti jati diri bangsa itu sendiri. Ia merupakan kejayaan besar untuk kedua-dua belah pihak, diusahakan oleh Malaysia tanpa sebarang campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara itu," jelasnya.

Katanya, Malaysia turut membantu kerajaan Thailand dalam menstabilkan keselamatan serta memperbaiki pembangunan sosio-ekonomi menerusi kerjasama bilateral terutama di wilayah selatan negara itu.

"Kita sedang berusaha ke arah mencapai keamanan di wilayah selatan Thailand dan kita sudah mencapai kejayaan besar yang tak pernah dicapai dalam sejarah apabila kedua-dua pihak bersetuju untuk berbincang.

"Kejayaan ini bukan mudah, sudah lama mereka bersengketa dan akhirnya setuju (untuk berbincang) dengan peranan Malaysia. Malaysia tidak henti membantu dari segi latihan untuk komuniti Islam di wilayah terbabit tetapi lebih daripada itu, ia bukanlah bermakna kita mengambil alih tanggungjawab kerajaan Thailand. Ini tanggungjawab mereka terhadap umat Islam," katanya.

Malah katanya, Malaysia sentiasa mengharapkan kerajaan Thailand untuk menambah bantuan khususnya kepada orang Islam di wilayah itu.

"Kita perlu beri masa untuk rundingan damai itu berjaya. Amat berbaloi untuk melabur dalam keamanan dan usaha ke arah itu merupakan cara hidup Islam yang sebenar," tambahnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130605/dn_04/Malaysia-akan-terus-main-peranan-perjanjian-damai-selatan-Thailand,-Filipina#ixzz3CjrCmV2a
© Utusan Melayu (M) Bhd

  • Hot News

  • Top News

  • Latest News

  • English : Latest News

  • Thai : Latest News